Atithi Devo Bhava

Atithi devo bhava अतिथि देवो भव yang bermaksud tetamu itu adalah malaikat. Petikan ini diambil dari kitab suci Hindu purba dan menjadi sebahagian daripada adat-istiadat masyarakat Hindu.

Petikan ini memberi penjelasan mengenai hubungan antara tuan rumah dan tetamu. Ia turut diambil menjadi tag line Kementerian Pelancongan India dalam kempen memperkasa layanan terhadap pelancong di India. 

Sumber petikan ini diambil dari Taittiriya Upanishad, Shikshavalli I.20 yang menyebut:
"Matrudevo bhava pitrudevo bhava acharyadevo bhava atithidevo bhava"
Maksudnya, "Ibunda itu malaikat, ayahanda itu malaikat, guru itu malaikat dan tetamu itu malaikat." Matrudevah, pitrudevah, acharyadevah, atithidevah adalah satu perkataan setiap satunya. Setiap satu perkataan itu adalah bahuvrihi samasta-pada.

Tithi dalam bahasa Sanskrit menandakan tarikh. Pada zaman purba, apabila cara berkomunikasi itu terbatas dan tidak mungkin bagi tetamu untuk mengagak tarikh ketibaan mereka di rumah tuan rumah maka perkataan atithi digunakan sebagai tetamu yang menandakan bahawa tetamu itu tiba bila-bila masa sahaja. Mereka pun boleh pergi bila-bila masa sahaja. Tiada tarikh untuk datang dan pergi. Tetamu yang datang pada tarikh-tarikh tertentu pula dipanggil sebagai abhyāgata.

Perkataan deva, yang ditulis dengan sandhi atau gabungan eufonik menjadi devo bermaksud malaikat dan bhava bermaksud ialah. Maksud ayat ini adalah berilah khidmat bakti kepada tetamu seolah-olah kamu berbakti kepada malaikat atau Tuhan. 

Upacara atau Puja

Dalam agama orang Hindu, Tuhan dipuja menerusi malaikat-malaikat. Malaikat peribadi pula dipuja melalui lima langkah pemujaan, dikenali sebagai Panchopara Puja. Upacara yang lebih panjang pula disebut sebagai Shodashopchar Puja mengandungi 16 langkah.

Lima langkah pemujaan tersebut juga dijadikan sebagai langkah untuk melayan tetamu di rumah orang Hindu:
  1. Dhupa atau dupa wangian, tetamu akan disambut dengan pendupa wangian kerana bau-bauan wangi akan memberikan perasaan yang baik kepada tetamu.
  2. Dipa iaitu pelita yang diletakkan antara tuan rumah dengan tetamu supaya ungkapan dan bahasa badan mereka menjadi jelas dan tidak berlaku salah komunikasi antara mereka.
  3. Naivedya, iaitu buah-buahan kudapan serta manisan diperbuat dari susu dipersembahkan kepada tetamu.
  4. Akshata iaitu beras yang menjadi lambang kesatuan. Tilak diperbuat dari sebatian serbuk merah akan ditempek ke dahi tetamu dan dilekatkan juga sedikit beras. Ini merupakan bentuk alu-aluan tertinggi dalam keluarga orang Hindu.
  5. Pushpa iaitu bunga yang dipersembah sebagai tanda keinginan yang baik-baik belaka. Apabila tetamu pergi, bunga menjadi lambang memori indah pada masa lawatan tetamu di rumah mereka dalam beberapa hari itu.